Perutusan Pengerusi

Sejak Persidangan pertama kita yang diadakan pada bulan November 2014, Persidangan Kemuncak Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Persidangan KL Summit, telah berakar umbi dan kini bersedia untuk dipertingkatkan dan menerajui usaha untuk mengembalikan semula ketamadunan Islam.

Persidangan KL Summit, sebagai medium yang menghimpunkan pemimpin Islam, tokoh intelektual dan para cendekiawan dari seluruh dunia, telah dibuahkan dengan objektif yang murni untuk mencari penyelesaian yang terbaik demi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh dunia Islam pada hari ini.

Lazim kita mendengar pepatah seorang cendekiawan dan pakar undang-undang Mesir abad ke-19, Muhammad ‘Abduh, yang berkata bahawa:

“Saya pergi ke Barat dan nampak Islam merata, tetapi tiada Muslim; Saya pulang ke Timur dan nampak Muslim merata, tetapi tiada Islam.”

Ini adalah satu peringatan yang tegas terhadap kegagalan kita, ketidakmampuan kita menjunjung rukun asas Islam, menjadikan Islam agama kita, cara hidup kita.

Jurang perbezaan di kalangan negara Islam amat melampau – kita mempunyai negara kaya yang lebih kaya daripada yang terkaya dan golongan miskin yang lebih miskin daripada yang termiskin.

Kita melaungkan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara tetapi sebaliknya, umat kita terlibat dalam perang saudara, perang mazhab, perang dengan jiran Muslim kita yang tiada berkesudahannya, malah menjemput negara bukan Islam untuk membantu kita dalam peperangan kita sesama umat Islam.

Sudah terlalu lama kita dikaitkan dengan tanggapan seperti urus tadbir yang buruk, rasuah yang endemik serta sarang pembiakan pengganas.

Kita boleh terus menjerit tentang pertuduhan ini, terutamanya yang negara kita ini sarang pengganas, sebagai propaganda anti-Islam. Namun, kita tahu bahawa kelemahan dan perpecahan di kalangan kitalah yang membernarkan propaganda ini.

Begitulah keadaan negara kita dewasa ini, kaum Muslim ibarat melukut di tepi gantang, terkongkong di bawah kekuasaan bangsa lain dan nasib kita sekadar menagih belas kasihan mereka.

Kelahiran Persidangan KL Summit, yang dengan bersungguh-sungguh berhasrat untuk menyumbang kepada peningkatan hal-ehwal dalam kalangan umat Islam dan negara, adalah berlandaskan tirai latar ini.

Namun, tidak kira betapa banyak ilham baharu yang dirangsang oleh Persidangan KL Summit ini, jika tidak ada sokongan yang diberikan oleh para pemimpin dan Kerajaan Umat Islam, maka ilham itu tetap ilham.

Saya sesungguhnya berharap agar semua yang mengambil bahagian dalam Persidangan KL Summit ini akan mendakap cabaran ini dan menjadikan semua deklarasi serta keputusan kita suatu kenyataan.

Persidangan KL Summit, yang disertai oleh para pemimpin serantau dan antarabangsa daripada segenap lapangan, mesti berpandukan fahaman yang komprehensif terhadap pencapaian nilai yang tertinggi dalam masyarakat Islam serta kedaulatan Ummah.

Di Persidangan KL Summit, kita akan membincangkan isu-isu ini secara telus dalam usaha mencari penyelesaian yang baharu dan yang dapat dilaksanakan, demi menangani permasalahan yang menimpa dunia Islam. Melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman inilah kita dapat berkongsi minda dan memilih penyelesaian yang terbaik untuk kita, dan untuk negara kita.

Saya menanti-nantikan dialog yang menarik dalam persidangan ini dan berharap agar kita dapat melangkah ke hadapan demi mencapai matlamat yang amat kita idamkan selama ini untuk negara kita.

Kita sentiasa merenungi betapa hebat, kaya dan gemilangnya tamadun Islam pada suatu ketika dahulu. Ia sesungguhnya babak yang gemilang dalam sejarah dan kita amat teringin akan kepulangannya. Namun, keinginan tidak akan menjadi kenyataan melainkan kita melakukan sesuatu.

Sekian terima kasih.


Tun Dr Mahathir Bin Mohamad

Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Persidangan KL Summit